Tuesday, September 1, 2009

Jiwa Realiti sasar pasaran OIC

KUALA LUMPUR 20 April - Pengeluar produk kecantikan dan makanan kesihatan, Jiwa Realiti Sdn. Bhd. (Jiwa) melangkah setapak lagi apabila mula menembusi pasaran 57 buah negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Ini merupakan satu pencapaian terbaik syarikat tersebut walaupun baru hampir sebulan ia ditubuhkan.

Presidennya, Eric Yap berkata, sehingga kini, pihaknya merancang menerokai pasaran lima buah negara dan pada akhir Mei ini, ia akan ke pasaran Indonesia.

Menurut beliau, pihaknya akan menggunakan OIC World Trade (OWT) bagi mengembangkan pasarannya.

"Kami yakin produk kami akan mendapat sambutan di luar negara terutamanya negara yang menganggotai OIC.

"Selain luar negara, kami yakin pasaran domestik turut mendapat permintaan tinggi,'' katanya selepas memeterai perjanjian kerjasama di antara Jiwa Realiti dan OWT.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Pengarah Eksekutif OWT, Robert James Delaney.

Jiwa Realiti merupakan syarikat pengeluar produk kecantikan yang menggunakan 100 peratus produk halal.

Sejumlah 90 peratus produk kecantikan keluaran Jiwa Realiti adalah berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan manakala 10 peratus lagi diimport dari luar negara termasuk dari Brazil.

Sementara itu, Delaney menambah, pihaknya sedia membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk memasarkan produk ke negara-negara anggota OIC.

Katanya, sehingga kini, terdapat beberapa syarikat yang ditawarkan untuk memasarkan produk masing-masing di bawah OWT.

"Kami mengutamakan beberapa kriteria penting sebelum membenarkan pasaran produk ke negara-negara OIC termasuk status halal,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment